Friday 6 May 2016

Konsep Kajian Tindakan

Kajian Tindakan merujuk kepada penyelidikan terhadap amalan pengamal, baik secara individu mahupun bersama pengamal lain untuk mengubah dan menambah baik amalan sedia ada. Dalam bidang pendidikan, pengamal boleh terdiri daripada guru, pentadbir atau kaunselor sekolah atau individu lain yang terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai penyelidik, mereka melaksanakan tindakan praktik (intervensi) bertujuan untuk membaiki atau meningkatkan kualiti amalan masingmasing, di samping meningkatkan kefahaman mereka tentang amalan itu serta situasi di mana amalan itu dilakukan.  Antara amalan dalam kajian tindakan ialah proses membuat refleksi, merancang, melaksanakan dan memerhati. Kajian tindakan bermula dengan timbulnya satu masalah dalam proses PdP yang dihadapi oleh guru. Masalah ini akan cuba diselesaikan dengan melakukan perancangan untuk mengatasinya, bertindak mengikut strategi yang dirancang, mengumpul data dan memerhati strategi penyelesaian dan diakhiri dengan kesan refleksi daripada hasil tindakan tersebut. Jika penyelesaian masalah masih belum memuaskan, kitaran kajian tindakan ini (iaitu merancang, bertindak, memerhati dan mereflek) akan diulang sehingga objektif tercapai. Kajian tindakan merupakan satu orientasi kepada penyelidikan berbanding kaedah. Kajian tindakan bukanlah satu kaedah. Kajian ini menggabungkan siasatan dengan tindakan seperti satu cara perubahan merangsang dan menyokong serta sebagai langkah menaksir kesan perubahan itu. 

Terdapat pelbagai definisi kajian tindakan yang telah dikemukakan oleh pakar-pakar kajian tindakan. Antaranya adalah seperti berikut:

        
Kemmis dan McTaggart (1988, Kajian tindakan merupakan satu bentuk inkuiri refleksi kendiri yang dilakukan secara kolektif, dilakukan oleh peserta yang berada dalam sesuatu situasi sosial bertujuan meningkatkan kerasionalan dan keadilan amalan-amalan kemasyarakatan dan pendidikan mereka sendiri, di samping meningkatkan kefahaman mereka tentang amalan-amalan itu serta situasi di mana amalan itu dilakukan

McNiff (1988), Kajian tindakan adalah satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatka kualiti pendidikan melalui perubahan dengan menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalanamalan tersebut dan bersedia untuk mengubahnya. Ia melibatkan guru dalam inkuiri yang dijalankan oleh mereka serta melibatkan guru-guru lain secara bersama.

Somekh (1989), Kajian tindakan ialah satu kajian terhadap situasi sosial yang melibatkan peserta dalam situasi sosial itu sendiri sebagai penyelidik dengan niat untuk memperbaiki kualiti amalan masing-masing.

Kember dan Gow (1992), Kajian tindakan melibatkan pengamal (guru) untuk mencuba membaiki pengajaran mereka melalui kitaran yang melibatkan proses perancangan, pelaksanaan, pemerhatian dan refleksi.


Kesimpulannya, berdasarkan pelbagai definisi tersebut dapat dirumuskan bahawa kajian tindakan merupakan satu kaedah untuk guru mereflek masalah yang mereka hadapi, memungut dan menganalisis data dan melaksanakan perubahan terhadap amalan mereka berdasarkan dapatan-dapatan yang diperolehi. Kajian tindakan menjurus kepada matlamat menjalankan penyelidikan tindakan, iaitu atas keinginan dan kecenderungan guru untuk membaiki kualiti amalan atau pengajaran pembelajaran serta situasi kerja. Sehubungan dengan itu, guru dapat mengatasi masalah yang dihadapinya dalam konteks amalan mereka sendiri.


Rujukan

Chow Fook & Jaizah Mahamud (2011). Kajian Tindakan:   Konsep dan Amalan dalam Pengajaran. Selangor:   Penerbitan Multimedia
Maria Salih (2016). Bagaimana Menjalankan Kajian   Tindakan. Perak:  Universiti Pendidikan Sultan Idris

Othman Lebar (2011). Kajian Tindakan dalam   Pendidikan : Teori Dan Amalan. Perak. Universiti   Pendidikan Sultan Idris

No comments:

Post a Comment